Friday, June 20, 2014

MENGHARAP BAHAGIA

Dunia hanya melihat senyumnya,
Dunia hanya memerhati gelak tawanya,
Dunia hanya peduli lakon gembiranya,
Dunia hanya mengerti tipu bahagianya.

Dan dia.

Terus menjadi pelakon hebat,
Menayangkan senyum simpulnya,
Menyembunyikan gerhana jiwanya.

Terus menjadi pemain wayang handal,
Terus melukis gembira bahagianya,
Menyembunyikan gerhana keruh sukmanya.

Ahhhh,
Andai dunia tahu,
Setiap lelah malamnya dihurungi sendu pilu,
Setiap pejam malamnya ditemani air mata sendu,
Setiap lenanya beradu dibebani saratnya sepi membeku,
Setiap damai mimpinya dibaluti keresahan tak bertepi.

Andai dunia tahu.

Dia keseorangan menjalani pentas hidupnya,
Dia kesepian menyusuri takdir hidupnya,
Dia terkontang kanting mencari dimana sulur bahagianya.
Andai dunia tahu,
Apa disebalik senyumnya,
Apa disebalik tawanya,
Apa disebalik gurau sendanya,
Apakah dunia akan memahaminya?
Apakah dunia akan mengerti tentangnya?

Andai dunia tahu,
Dia handal berpura dalam senyumnya,
Dia hebat berpura dalam riangnya,
Dia gemar berpura dalam bahagianya,
Adakah dunia akan mengerti?
Adakah dunia akan segera memahami?

Dia sunyi,
Dia sepi,
Dia keseorangan,
Dia tiada berteman,
Dia tidak terluah tentang rasa jiwanya.

Setiap di dalam sujudnya,
Setiap di dalam doanya,
Setiap di dalam permohonan kudusnya,
Di lewat sepi alam yang terlena,
Dia memohon pada Yang Maha Pengasih,
Agar dihadiahkan bingkisan bahagia,
Agar dianugerahkan hembusan kasih,
Agar diselubungi untaian sayang,
Agar dia bisa tersenyum gembira dalam bahagia yang sebenarnya.

Dia,
Hanya mahu bahagia.

Dia
Menanti nama yang tertulis untuknya di Loh Mahfuz.

Dia,
Menunggu adamnya mencair beku hatinya.

Dia,
Mengharap akan tiba satria memperjuangkan cinta hidupnya.

Dia,
Hanya mahu, menanti, menunggu dan mengharap,
Adamnya,
Membawa bahagia yang dia dambakan dari istana cinta.



Iyla Rahman – 14022014
3.23 AM


Ilham dari kawan2 yang mengeluh kesah tentang teka-teki jodoh mereka. Yang tertanya-tanya, tentang rahsia Tuhan. Yang belum lagi dijumpai oleh adam yang kehilangan tulang rusuknya.


**Kenapa hawa dibuat dari tulang rusuk kiri Adam, dan bukan kanan? Kerana tulang rusuk dikiri paling hampir dengan Hati. Maka, kerana itulah, Hawa itu, adalah tulang rusuk yang terdekat di hati seorang Adam.

No comments: